Thursday, January 1, 2009

Cadangan 1

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya mata pelajaran mengenai hukum hudud diperkenalkan di semua sekolah di negara ini. Beliau berkata, disebabkan hudud adalah perkara besar serta memerlukan masa untuk membolehkan semua pihak memahaminya, adalah wajar ia diperkenalkan pada peringkat sekolah. “Soal hudud adalah besar, memakan masa lama. Kalau mengambil masa setahun tidak apa. Ibarat tanam ubi keledek, tiga bulan boleh makan, tapi tanam kelapa, makan masa 10 tahun. Buat perlahan-lahan, dia orang (sekolah) boleh terima, jadi tiada masalah untuk diperkenalkan di peringkat sekolah sebagai pendedahan awal,” katanya selepas merasmikan sambutan 2009 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam kelmarin. Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, soal hudud tidak perlu diperbesarkan kerana ia adalah isu lama dan Kelantan sudah meluluskan kertas cadangan mengenainya ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini. “Isu hudud sengaja diperbesarkan oleh orang yang sudah tiada modal (idea) sedangkan sebelum datang hudud, nak sebut politik Islam pun orang marah. “Suatu ketika dulu, politik Islam dianggap sesuatu yang mustahil tetapi sekarang sudah diterima bukan saja orang Melayu, malah bangsa lain. Begitu juga dengan hudud, satu masa akan sampai (akan diterima),” katanya. Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz tetap mempertahankan kenyataan yang dibuatnya Isnin lalu mengenai dapat pahala jika mengundi Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini. “Kalau dia boleh menyalahkan kata saya, tak apa. Apa bukti salah saya kata boleh pahala (kalau undi Pas), orang zaman dulu salahkan Nabi Muhammad SAW juga. “Kalau kira nak menyalah, kami (Pas) boleh salahkan dia (Barisan Nasional) juga. Kalau dia (BN) kata mengacau, sama-sama (Pas dan BN) mengacau, itu bukan alasan baru. Dia (BN) yang menakutkan,” katanya, semalam ketika mengulas kenyataan calon BN, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang menyifatkan Nik Abdul Aziz menggunakan isu agama untuk menakutkan pengundi.-- berita harian

http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=5377#154381

No comments: